KOTA KINABALU: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) menyediakan peruntukan RM300 juta sebagai kemudahan pinjaman pembelian rumah sehingga 100 peratus harga pembelian, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya George Taitim Tulas.
Beliau berkata kemudahan pinjaman itu bertujuan bagi membeli rumah pertama dan pembelian terus daripada pemaju.
“PPS juga menyediakan kemudahan pinjaman kepada kontraktor yang diberikan kontrak membina Rumah Mesra SMJ dengan kadar faedah lebih rendah daripada yang ditawarkan oleh agensi lain sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
PPS turut menyediakan kemudahan pinjaman untuk perniagaan baharu bagi Program Inisiatif Pembangunan Usahawan sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus baki berkurangan bulanan dan umur peminjam serendah 18 tahun.
“Jumlah maksimum pinjaman mikro kredit juga dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM2,000 tanpa faedah, dengan tempoh pembayaran dipanjangkan kepada 60 bulan daripada 24 bulan serta umur kelayakan meminjam dinaikkan kepada 70 tahun,” katanya.
Beliau berkata jumlah maksimum Pinjaman Kemudahan Agro Makanan turut ditingkatkan kepada RM100,000 dan kadar faedah sifar peratus dikekalkan.
George berkata untuk meluaskan pencapaian perkhidmatan, PPS telah menyediakan seunit pejabat bergerak untuk urusan perniagaan serta membolehkan latihan dan seminar dilaksanakan di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kelengkapan internet.
Beliau menambah PPS akan membuka pejabat cawangan baharu di daerah Tuaran yang dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya Jun ini. – BERNAMA