KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mencadangkan peruntukan yang diberikan untuk Sabah dan Sarawak perlu disalurkan terus kepada pertubuhan di negeri masing-masing.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, cadangan itu dilihat lebih relevan berbanding disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ketika ini.
Katanya, pendekatan itu sejajar dengan kesungguhan Kerajaan Persekutuan ingin menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan keperluan Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi.
“Usul mengenai kaedah penyaluran peruntukan kepada kedua-dua negeri Borneo itu diputuskan sebulat suara oleh perwakilan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah baru-baru ini.
“Semua perwakilan dari 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPN mengusulkan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak harus diberi pertimbangan untuk diberikan terus kepada PPN negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, peruntukan terus itu juga supaya bantuan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan disalurkan dengan lebih cepat agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh golongan sasar.
“Golongan peladang, penternak dan nelayan di Sabah dan Sarawak dapat menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih cepat berbanding melalui NAFAS yang dilakukan ketika ini.
“Selain itu, ia juga dapat menjimatkan belanja kerajaan dari segi kos logistik penghantran input dari semenanjung,” katanya.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diberi pertimbangan terhadap perkara ini.
“Sekiranya terlaksana, ia akan mempercepatkan bantuan turun kepada masyarakat yang menerimanya kerana diproses di Sabah dan Sarawak sebelum dihantar kepada penerima.
“Jadi, bantuan itu cepat sampai, sekali gus dapat membantu memudahkan usaha kerajaan melaksanakan penyaluran bantuan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan 2024 memberi manfaat yang besar kepada masyarakat termasuk ahli Pertubuhan Peladang di Sabah.
“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin terhadap golongan peladang, penternak dan nelayan.
“Dengan sumbangan yang besar dalam belanjawan tahun depan, kita yakin banyak manfaat dapat dinikmati golongan peladang, penternak dan nelayan dalam semua bidang yang mereka ceburi,” katanya.
Terdahulu, Belanjawan 2024 telah menyediakan dana sebanyak RM 2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah serta nelayan selain RM400 juta untuk melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.- Utusan Borneo