PPM Tahan 3 Lelaki, Rampas Minuman Keras Bernilai RM900,000

rampas-minuman-keras.jpg

Tiga lelaki ditahan bersama minuman keras bernilai hampir RM900,000 di Beaufort. FOTO Ihsan PPM

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Cubaan tiga lelaki menyeludup minuman keras tidak bercukai dari Labuan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Kontraban yang dijalankan di sebuah rumah Kampung Bintuka, Beaufort, di sini, kelmarin.

Dalam operasi 4.30 petang itu, ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 hingga 30 tahun itu ditahan bersama minuman keras bernilai RM900,000.

Sumber berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota PPM Labuan membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Ketika serbuan, pasukan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori di hadapan rumah berhampiran sungai yang disyaki menyimpan minuman keras tidak bercukai.

“Tiga lelaki yang berada di dalam kenderaan ditahan dan soal siasat mengakui ingin memasuki rumah itu dan mengambil minuman keras tidak bercukai untuk dibawa keluar,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber itu juga, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui pelbagai minuman keras dipercayai diseludup ke Sabah dari Labuan tanpa melalui jalan yang diwartakan.

“Nilai keseluruhan rampasan minuman keras berjumlah RM900,000 termasuk cukai,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, tangkapan dan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top