PPM Patahkan Cubaan Seludup Daging Sejuk Beku

rampas-sejuk-beku.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Taktik dua lelaki menyeludup keluar 1.3 tan daging sejuk beku menggunakan bot laju dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di kawasan laut utara Pulau Pom-Pom, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 46 tahun berjaya ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan didapati membawa beberapa kotak daging ayam dan lembu sejuk beku.

Katanya, semua makanan sejuk beku berkenaan dianggarkan seberat 1,300 kilogram yang dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina.

“Semua daging yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,900 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kedua-dua suspek terus ditahan untuk membantu siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Mohamad berkata, semua daging serta bot berkenaan turut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna.

Katanya, kes akan turut dirujuk ke Jabatan Veterinar Semporna untuk membantu siasatan lanjut.

“Operasi pemantauan kegiatan penyeludupan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top