PPM gagalkan cubaan tiga lelaki warga asing seludup barang kawalan

seludup.jpg

Suspek bersama barangan kawalan dirampas pasukan PPM Kudat di kawasan perairan Tanjung Meniagit Banggi, Kudat.

Kongsi Bersama

KUDAT: Cubaan tiga lelaki warga asing masuk ke negara ini untuk menyeludup barang kawalan keluar ke negara jiran gagal selepas berjaya digagalkan pihak berkuasa.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, hanya seorang daripada suspek berjaya ditahan selepas dua daripada mereka dapat melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum menghilangkan diri.

Katanya, kkegiatan ketiga-tiga suspek berjaya dikesan semasa rondaan Op Taring Gelora yang dijalankan PPM Kudat.

“Sebuah bot yang dinaiki tiga lelaki yang mencurigakan kemudiannya berjaya ditahan di kawasan Perairan Tanjung Meniagit Banggi, di sini.

“Pasukan operasi bagaimanapun hanya berjaya menahan seorang daripada suspek berusia 26 tahun manakala dua lagi berjaya menghilangkan diri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek tidak mempunyai pas atau dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan berjaya menemukan 30 tong dram kosong dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan barang kawalan ke Pulau Mangsee, Filipina.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya bertindak merampas bot bersama enjin dan tong dram yang dianggarkan bernilai RM53,900.

“Suspek dan barang rampasan terus dibawa ke Pangkalan (PPM) Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top