PPK Tawau Sasar 390,000 Orang Divaksin Capai Imuniti Kelompok

Dr-GNavindran.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau sasar seramai 390,000 penduduk divaksin bagi mencapai imuniti kelompok di daerah ini.

Pegawai PKK Tawau Dr G. Navindran berkata pihaknya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar sasaran itu dengan lebih cepat.

“Namun, ianya akan terlaksana sekiranya semua masyarakat dapat memberikan kerjasama untuk mendaftar suntikan vaksin.

“Proses vaksinasi tersebut sedang giat dijalankan termasuk di kawasan luar bandar dan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketika ini,” katanya ketika ditemui, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini PPK Tawau masih menunggu bekalan vaksin yang dijangkakan tiba hujung bulan ini.

“Memang pemberian vaksin ketika ini agak perlahan kerana bekalannya sudah tidak banyak tetapi ianya masih berjalan lancar setiap hari.

“Selain itu, ramai penduduk Tawau juga sudah mula sedar kepentingan vaksin dan pendaftaran dikalangan mereka juga semakin bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Navindran berkata, setakat ini dianggarkan lebih 40,000 penduduk Tawau sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

“Setiap hari kita berikan suntikan sebanyak 1,500 orang di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Dewan Masyarakat Tawau, IPG Balung dan Klinik Kesihatan Kabota.

“PPV Merotai juga akan dibuka pada hari Isnin ini, selain program outreach pemberian vaksin di kawasan pendalaman akan diteruskan,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya masih kekurangan kakitangan untuk ditugaskan di setiap PPV tetapi ianya bukan satu masalah yang besar.

“Setiap PPV kita akan tempatkan seramai 30 orang kakitangan KKM dan ianya sudah pasti menjadi kekangan kerana klinik yang sedia ada juga perlu berfungsi seperti biasa.

“Kami mengharapkan semua masyarakat membantu pihak KKM agar penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan sekali gus tidak membebankan petugas kesihatan yang agak terhad ketika ini,” katanya. – Utusan Borneo

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top