TAWAU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah diminta supaya menarik balik kenyataan yang mengaitkan berlaku penyelewengan wang pengurusan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan, Khamis lalu.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Kalabakan, Saharuddin Salleh berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat oleh PPN Sabah dan ia adalah kenyataan berbentuk fitnah.
Katanya, tuduhan itu dianggap berniat jahat yang cuba mencemarkan imej, reputasi serta nama baik AJP Pengarah, Pengurusan dan PPK Kalabakan.
“PPK Kalabakan menuntut Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah segera memohon maaf secara terbuka melalui media, secara bertulis dalam tempoh tujuh hari dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan.
“Jika enggan berbuat demikian, maka pihak PPK Kalabakan akan mengambil tindakan undang-undang dan saman kepada Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.
Menurutnya, kenyataan PPN Sabah itu jelas berniat mahu memfitnah PPK Kalabakan kerana tidak membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan.
“PPK Kalabakan akan membuat tuntutan saman malu sebanyak RM15 juta kepada Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah sekiranya tiada permohonan maaf dibuat dalam tempoh yang diberikan.
“Barisan AJP serta 4,272 ahli PPK Kalabakan juga telah hilang kepercayaan ke atas barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah dan mendesak supaya mereka meletak jawatan,” katanya.
Saharuddin turut mendesak Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pejabat Pendaftar LPP supaya membuat siasatan serta mencari dalang terhadap tuduhan itu dibuat.
“Pihak berkuasa juga diminta supaya menyiasat punca bagaimana dokumen sulit yang tertakluk dalam Akta Rahsia Rasmi boleh keluar dan diterima oleh pihak PPN Sabah,” katanya.
Terdahulu, pada Khamis lepas, PPN Sabah telah mengeluarkan kenyataan media bahawa berlaku penyelewengan sebanyak RM320,251.79 ke atas PPK Kalabakan dan pembelian pusat timbang sawit berharga RM300,000 oleh PPK Tawau. – Utusan Borneo