Porter Gunung Kinabalu Daved Simpat juarai Labuan 3 Trails 2023

Daved-Simpat.jpg

LABUAN: Pelari denai jarak jauh Daved Simpat muncul juara acara sukan lasak, Labuan 3 Trails 2023 selepas menamatkan larian sejauh 33 kilometer (km) dengan catatan 3 jam 19 minit.

Daved, 41, yang merupakan porter atau pengangkut barangan di Gunung Kinabalu sejak 2007, mempamerkan ketahanan dan kemahirannya dalam mengharungi laluan mencabar pada acara itu yang berlangsung di Padang Majal, Kampung Pohon Batu, di sini semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu ketika ditemui Bernama selepas menamatkan larian berkenaan berkata perkara paling mencabar yang menguji ketahanannya sepanjang perlumbaan itu ialah ketika mengharungi kawasan pantai di bawah panas terik pada waktu pagi.

“Bagaimanapun, saya berjaya mengawal larian dan menamatkan perlumbaan lebih sedikit daripada yang disasarkan iaitu untuk menamatkan larian sejauh 30km dalam tempoh kurang dari tiga jam,” katanya yang berasal dari Kota Belud, Sabah.

Kejayaan itu menambah senarai pencapaian Daved dalam larian berkenaan selepas menjuarai acara 100km North Face Malaysia Mountain Trail Festival 2023 di Taiping, Perak, sekali gus mencipta rekod baharu dengan catatan 12 jam 15 minit dan 40 saat.

Menurut Daved, beliau mula melibatkan diri dalam larian denai jarak jauh pada 2009 dan sepanjang 14 tahun, beliau telah mewakili Malaysia dalam pelbagai acara antarabangsa termasuk World Mountain and Trail Running Championship (WMTRC) 2023 di Austria, Jun lepas.

Dianjurkan oleh JHK Events, Labuan 3 Trails telah menarik penyertaan lebih daripada 250 individu dari dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei selain dihadiri ribuan penonton yang mula berkumpul sejak 5 pagi untuk menyaksikan perlumbaan terbabit.

Pengasas JHK Events Jamil Kario berkata acara berkenaan telah menonjolkan Labuan sebagai berpotensi menjadi hab bagi pertandingan sukan lasak terutama dengan penyertaaan pelari denai jarak jauh antarabangsa.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan laluan bagi memastikan pengalaman lebih mencabar kepada peserta pada penganjuran akan datang.

“Kemenangan Daved mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai seorang daripada pelari denai jarak jauh yang hebat selain berdedikasi, berkemahiran dan memiliki semangat kesukanan yang jitu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top