KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan kehadiran populasi buaya di Sungai Darau dan sungai berhampiran Depoh DBKK, di sini, menurut kenyataan di laman Facebook agensi berkenaan.
Menerusi laporan dikeluarkan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi DBKK, kelmarin, kehadiran reptilia itu dikesan menerusi operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandar raya ini pada 19 hingga 20 Ogos lalu.
“Hasil pelaksanaan operasi bersepadu pemantauan buaya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu pada 19 dan 20 Ogos lalu berjaya mengesan dua lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya iaitu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh DBKK,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, pemantauan menggunakan bot dan dron merumuskan jumlah populasi buaya di bandar raya ini adalah terkawal..
Operasi selama dua hari itu melibatkan seramai 65 anggota daripada Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya yang dianggotai oleh DBKK, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Taman-Taman Sabah.
Operasi dijalankan bermula 8 pagi hingga 10 malam dan berpusat Jeti Taman Cycleway Phase 3 berhadapan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah selain turut meliputi kawasan Taman Awam Teluk Likas I, Sungai Darau-Kalansanan dan Bengkel Depoh, DBKK.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan:
– Talian Kecemasan Kebangsaan: 999
– Polis Diraja Malaysia (PDRM): 088-529222
– Balai Bomba Kota Kinabalu: 088-210214 / 019-2445687
– Jabatan Hidupan Liar (JHL): 088-213502
– Angkatan Pertahanan Awam Sabah: 088-232440
– Angkatan Pertahanan Awam Kota Kinabalu: 088-232453