KUDAT: Sejumlah pondohan yang dibina secara haram di sebuah perkampungan air di Si Bogo, Pulau Bangkawan di Kudat diarah dirobohkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.
Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCom), Timbalan Pesuruhjaya Hamzah Ahmad berkata keputusan untuk merobohkan struktur itu dibuat kerana ia boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh anggota keselamatan, baik dari darat mahupun udara, mendapati jumlah pondohan (pondok haram) meningkat di kawasan itu,” katanya.
Menurut beliau struktur haram seperti itu berpotensi untuk dijadikan ‘staging point’ bagi aktiviti jenayah seperti penculikan, samun dan penyeludupan di sepanjang perairan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Hamzah berkata susulan penemuan dan siasatan berterusan, ESSCom dengan kerjasama pihak Taman-Taman Sabah telah menjalankan Ops Gasak untuk merobohkan lima pondohan dan 41 rumah haram di Si Bogo, Pulau Bangkawan.
Hamzah berkata pihak berkuasa telah mengeluarkan notis pengusiran kepada 41 penghuni rumah itu untuk berpindah dari kawasan tersebut sebelum pihak berkuasa merobohkan rumah haram itu.
Sementara itu, Hamzah berkata ESSCom bersedia untuk merobohkan mana-mana struktur haram, penempatan dan pondohan di sepanjang pantai timur.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada talian hotline mereka di talian 089-863 181 atau WhatsApp di 011-6331 1072 mengenai sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku berhampiran dan sekitar kawasan mereka.
Sumber: The Borneo Post