Oleh: Adi Alhadi
1.Ramadan dan kurma berpisah tiada. Itu tradisi kita yang terpelihara elok sejak dahulu.
2. Ramadan, kurma dan ahli politik pula tradisi baharu yang muncul dua tiga dekad kebelakangan ini. Ia juga nampaknya berpisah tiada.
3. Tidak semua, tetapi ramai ahli politik Melayu/Islam menjadikan buah kurma sebagai pilihan utama untuk disumbangkan sempena Ramadan. Selain buah kurma, bubur lambuk, kain pelikat, barangan dapur dan pelbagai lagi turut disumbangkan. Tidak terkecuali yang menyumbangkan duit ringgit.
4. Tetapi saya pilih kurma sebagai tajuk bagi mewakili semua yang lain kerana imejnya lebih Islamik dan penggunaannya juga lebih meluas. Bagi orang kita, asalkan kurma, tidak kira dari Arab, China, India, waimma Israel sekalipun, tetap kurma. Dan ia punya tempat tersendiri kerana statusnya sebagai makanan sunah. Malah dalam al-Quran, kurma disebut sebanyak 23 kali – petunjuk jelas bahawa ia memang istimewa.
5. Ramadan pula memang bulan penuh keberkatan. Kita dituntut menggandakan amal ibadat. Ini termasuklah bersedekah jariah. Pahalanya dijanjikan berlipat ganda.
6. Sebab itulah pada setiap Ramadan umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah dan berinfak. Ahli-ahli politik pun begitu. Yang tak pernah tinggal puasa dan yang tak pernah tak tinggal puasa, sama-sama ke depan untuk mengimarahkan Ramadan dengan sedekah dan infak mereka.
7. Ada persoalan di sini. Diriwayatkan daripada Imam Bukhari, antara tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT yang pada waktu itu tidak ada naungan selain naungan Allah SWT ialah: “Seseorang yang memberikan sesuatu derma secara diam-diam, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang didermakan oleh tangan kanannya.”
8. Orang politik – bukan semua – pada kebanyakan keadaan jarang memenuhi tuntutan di atas. Mereka tak pandai berahsia. Infaknya sering disempurnakan dalam majlis terbuka, siap masuk tv, masuk surat khabar dan masuk FB serta laman sosial lain. Dengan keadaan begitu bukan sahaja tangan kiri,malahan kaki kanan, kaki kiri, mulut, telinga, mata, hidung, lengan, siku dan segala anggota badan lain semuanya akan tahu.
9. Bersalahkah dia? Tidak juga. Infak secara terbuka tiada salahnya. Malah ia dibolehkan kerana perbuatannya itu boleh merangsang pihak lain untuk turut bersedekah. Selain itu ia boleh mengelak pemberi daripada dituduh bakhil dan kedekut.
10. Yang menjadi masalah adalah apabila infak secara terbuka itu dibuat dengan maksud lain selain daripada semata-mata untuk menyumbang dan bersedekah. Inilah yang sering dilakukan oleh orang politik – sekali lagi, bukan semua. Mereka menjadikan infak, khususnya di bulan Ramadan, sebagai medium untuk melakukan pemasaran politik.
11. Tulisan ini tidak bermaksud menilai dosa pahala atau ikhlas tidaknya seseorang. Itu urusan dia dengan Allah. Yang ingin diberikan peringatan hanyalah soal yang membabitkan urusan dia dengan khalayak, dengan kita semua.
12. Contoh baik yang dibawa oleh amalan berinfak boleh bertukar menjadi contoh tidak baik jika pemberi menjadikan infaknya dan Ramadan sebagai tunggangan untuk mencapai sesuatu tujuan politik. Esok lusa akan ada yang mencontohinya. Akibatnya Ramadan yang sepatutnya menjadi ‘pesta’ beribadah bertukar menjadi pesta mempromosi diri dan parti. Itulah yang berlaku, dan bertambah menjadi-jadi selama ini.
13. Tetapi ada baiknya juga untuk kita. Ia boleh dijadikan panduan untuk mengukur wibawa seseorang pemimpin. Jika sumbangannya, misalnya sekotak kurma, tidak bertulis apa-apa, ikhlasnya terselindung di situ. Sekiranya ada gambar dan tulisan pula, utamakanlah yang bertulisan dan bergambar kecil. Sebaliknya berhati-hatilah dengan yang nama dan gambarnya lebih besar daripada kotak kurma itu.
14. Tetapi dengan yang bertulisan atau bergambar kecil itu pun kita tetap perlu berhati-hati kerana itu juga mungkin satu strategi pemasaran. Dia mahu tulisan atau imej kecil itu memberi gambaran dia ikhlas dan tidak mementingkan diri. Dia mahu dikagumi kerananya…
15. Janganlah salahkan saya kerana mempunyai tanggapan begini. Saya mungkin silap. Tetapi contohnya saya ambil daripada apa yang biasa saya lihat kerana demikianlah perangai kebanyakan orang politik. Dia akan mencari apa sahaja cara untuk menjual diri dan selepas berjaya, mulalah dia ‘menjual’ kita pula. Itu pun tradisi juga…