KOTA KINABALU: Polis percaya berjaya menumpaskan ‘Geng Yan’ yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini dan Kota Marudu melibatkan kerugian kira-kira RM636,000, pada 12 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata lima lelaki anggota kumpulan itu ditahan termasuk ketua kumpulan dikenali ‘Yan’ manakala seorang lagi individu berusia 29 tahun berasal dari Kampung Darau, di sini yang masih bebas kini dikehendaki polis.
Beliau berkata kesemua yang berusia antara 34 hingga 40 tahun itu disyaki terlibat dalam 28 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini dan satu kes di Kota Marudu, dengan aktif sejak Oktober tahun lepas.
“Kumpulan ini memakai sarung tangan ketika lakukan pecah rumah tetapi polis berjaya kesan dua cap jari di tempat kejadian di sebuah firma guaman yang kehilangan wang tunai RM50,000 serta barang berharga bernilai RM200,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini kelmarin.
Mohd Zaidi berkata hasil daripada cap jari itu, satu daripadanya didapati milik Yan yang berusia 37 tahun sebelum berjaya menahan ahli kumpulan yang lain.
Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan disyaki hasil curi antaranya dua peti besi, empat kenderaan pacuan empat roda, komputer riba dan telefon bimbit.
Kesemuanya mempunyai rekod kesalahan lampau dan positif terhadap syabu, dengan ketua kumpulan itu memiliki 12 rekod melibatkan tujuh kes dadah serta lima pecah rumah.
“Kesemuanya direman bermula 12 hingga 31 Mac ini,” katanya menambah mereka menggunakan modus operandi mengenal pasti rumah tidak berpenghuni sebelum memecah masuk pintu utama dengan peralatan seperti kuku kambing.
Mohd Zaidi berkata sebelum ini kumpulan itu yang menggunakan nama ‘Geng Gurun’ telah berjaya ditumpaskan pada awal tahun lepas, namun Yan mengaktifkan semula kumpulan jenayah itu. – BERNAMA