Polis tumpas sindiket dadah, rampas 1.9 kilogram syabu

ditahan-polis.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 1.917 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM120,000 di ladang kelapa sawit Kalabakan, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, semasa kejadian, polis mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri ketika ditahan untuk pemeriksaan.

“Sebaik berjaya ditahan, polis mendapati lelaki terbabit adalah warga asing berusia 36 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan ke atas beg yang dibawa suspek pula mendapati terdapat dua bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 1.917 kilogram,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek terbabit terus ditahan dan hasil ujian air kencing ke atasnya juga didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Bagaimanapun, suspek terbabit tidak memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kita percaya dadah berkenaan dibawa dari luar untuk pasaran tempatan dan dianggarkan jumlah rampasan itu boleh mempengaruhi sehingga 20,000 penagih,” katanya.

Jasmin dalam pada itu berkata, sepanjang tahun ini IPD Tawau telah merampas sebanyak 26,155.66 gram bahan disyaki dadah jenis syabu.

“Saya menyeru masyarakat sentiasa bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dan memantau anak-anak remaja kita agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top