Polis Tahan Juragan Bot Karam Di Semporna

bot-karam.jpg

Polis berkata, lelaki tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian dengan cuai. (Gambar APMM)

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan bot karam berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata, di Semporna, Sabah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian dengan cuai.

“Polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari tadi dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Bernama, pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, lima penumpang yang dipercayai pendatang asing tanpa izin lemas dan dua lagi kanak-kanak masih hilang, iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7. Seramai 14 penumpang lain berjaya diselamatkan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Semporna Norrimi Hassan berkata, lima mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4.

“Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua mangsa hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan. Lokasi pencarian kini diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, kira-kira 60 anggota penyelamat yang terdiri daripada APMM, bomba, pasukan polis marin dan orang kampung giat mencari dua mangsa hilang itu.

Katanya, kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top