Polis Siasat Kes Peras Ugut Guna Video Lucah

Mohd-Zaidi-OCPD-KK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tiga kertas siasatan dibuka berhubung kes pemerasan menggunakan panggilan video lucah membabitkan anggaran kerugian setakat ini berjumlah lebih RM1,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kesemua kes berkenaan berlaku sepanjang bulan ini membabitkan tiga mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Menurutnya, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan sindiket dari Indonesia yang dikesan aktif menggunakan media sosial termasuk Facebook, Wechat, Michat, dan platform lain.

Katanya, kes pertama dilaporkan pada 18 Disember lepas apabila mangsa berkenalan dengan seorang wanita di Facebook yang menggunakan nama akaun ‘Dendrra’.

“Mereka kemudiannya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp selepas suspek mengajak bersembang cerita lucah dan menunjukkan gambar bogelnya untuk menarik perhatian mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes kedua dilaporkan berlaku pada 22 Disember lepas apabila mangsa menerima pesanan mesej melalui aplikasi MiChat.

Katanya, suspek kemudian membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp menggunakan talian 011-64128539 sebelum berlaku sesi berbogel antara mereka.

Mohd Zaidi berkata, kes ketiga juga dilaporkan berlaku pada hari yang sama apabila mangsa berkenalan dengan seorang menerusi Facebook atas penama Fanesa Aprilia.

“Suspek menghubungi mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum mengajak mangsa untuk melakukan onani.

“Mangsa yang terpedaya tidak menyedari aksi tidak senonoh berkenaan dirakam sebelum diugut untuk memberikan wang.

“Siasatan awal mendapati, tiga nombor WhatsApp yang terbabit dalam ketiga-tiga kes ini adalah +62812-7287-3427, +62858-4198-0004 dan +6287897327720,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket yang memperdayakan mangsa menggunakan modus operandi seperti tiga kes berkenaan.

Katanya, sindiket itu mengugut mangsa untuk membuat pemindahan wang menggunakan video yang dirakam ketika sesi panggilan video sebelumnya. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top