RANAU: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial semalam yang memaparkan kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.26 petang semalam.
“Kita maklum perkara berkenaan dan setakat ini kes di peringkat siasatan terperinci.”
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan,” katanya.
Simiun berkata, pihak polis juga menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat di IPD Ranau bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video berdurasi 5 minit 33 saat di media sosial facebook dan aplikasi whatsapp yang memaparkan tindakan beberapa pelajar menendang, menumbuk dan menampar beberapa pelajar lain satu persatu.
Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan buli berkenaan dan berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.
Berita asal: HMetro