SEMPORNA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran gambar dan juga rakaman suara yang dikaitkan dengan satu kes bunuh di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya mengesan penularan dua keping gambar suspek serta tiga pesanan suara yang didakwa terbabit dalam kes bunuh dan tular di media sosial, semalam.
Berikutan itu, beliau menasihat orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebabkan atau menyiarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.
“Perbuatan sedemikian bukan saja dikhuatiri boleh mengganggu siasatan polis malah mendatangkan kegusaran awam.
“Jika ada sebarang bukti sila tampil atau salurkan maklumat ke balai polis berdekatan dan bukannya tularkan di media sosial bagi mengelakkan sebarang kekeliruan selain kegusaran awam,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu Mohd Farhan menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak atau mana-mana individu terbabit mengikut peruntukan di bawa Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular dua keping gambar suspek serta tiga rakaman suara masing-masing berdurasi 0.07, 0.23 dan 0.36 saat yang didakwa berkaitan kes bunuh di daerah Semporna.