PENAMPANG: Polis Penampang mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung kes kacau ganggu dan cubaan melarikan orang melibatkan seorang pelajar sekolah menengah yang dikatakan berlaku di sebuah kampung di sini baru-baru ini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, satu kertas siasatan polis telah dibuka di bawah Seksyen 8 (1) (E) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.
Katanya, pihak polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan semua elemen di lapangan digerakkan bagi memaksimakan tahap keselamatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi dan berita tidak sahih yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat serta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta untuk segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian: 088-723961.
Baru-baru ini tular di sosial media mengenai satu kejadian di sebuah kampung di sini di mana ada sebuah kereta berwarna biru bercermin gelap telah menghampiri seorang budak perempuan yang sedang berdiri menunggu bas untuk pergi ke sekolah dalam kira-kira jam 10.00 pagi.
Di dalam kereta tersebut, dikatakan terdapat dua orang lelaki berbadan besar dan tinggi, kelihatan berkulit hitam telah menghampiri budak tersebut dan mengajak budak tersebut untuk ikut memasuki kereta mereka.
Dalam ketakutan budak tersebut menjauhkan diri lalu lari pulang ke rumah dan memberitahu kejadian tersebut kepada ibunya. – Warta Oriental