KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya seorang pengedar bersama dadah seberat 10.4 kilogram dalam sebuah kenderaan di taman perumahan di Tuaran pada Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dadah yang dianggarkan bernilai RM360,000 itu ditemukan dalam bonet kenderaan pacuan empat roda milik mangsa semasa serbuan pasukan Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada pukul 10 malam, Ahad.
Beliau berkata, semasa diperiksa suspek memberitahu kotak yang berada dalam bonet kenderaannya hanya barang biasa namun, ketika diperiksa terdapat bungkusan teh yang mengandungi plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu.
Ketika diperiksa, suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu cuba bertindak melarian diri namun, berjaya ditahan.
“Pemeriksaan awal mendapati, dadah itu disyaki dibawa masuk menggunakan perkhidmatan kurier daripada Kuala Lumpur dan baharu tiba di Sabah.
“Dadah seberat 10.4 kilogram itu dipercayai boleh menampung sehingga 50,000 penagih dadah di sekitar negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mengulas lanjut katanya, dua rakan jenayah suspek iaitu seorang lelaki dan perempuan yang berusia 40-an sedang dikesan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, memandangkan modus operandi digunakan sama dengan rampasan sebelum ini maka, beliau tidak menolak kemungkinan tangkapan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan sebelum ini.
Jauteh berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan suspek direman selama tujuh hari bermula 9 Mei lalu.