KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah melancarkan imbasan kod QR dikenali ‘QR Code Aduan Masyarakat’ sebagai platform penyaluran maklumat menggunakan telefon bimbit secara pantas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, inisiatif Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan bertujuan menyantuni serta menyelami permasalahan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini terutama di pusat bandar.
“Sebelum ini, 15 stesen ‘Op Payung’ ditubuhkan di sekitar pusat bandar bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Namun, dengan peredaran masa dan kawasan yang semakin luas yang memerlukan pemantauan, ‘Op Payung’ tidak lagi mencukupi,” katanya semasa Majlis Perasmian Penyerahan QR Code Aduan Masyarakat di Pondok Polis Warisan Square di sini, pada Selasa.
Turut hadir Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Beliau berkata, sejajar dengan kemajuan teknologi digital, penggunaan pengimbasan kod QR memudahkan akses orang ramai di samping menambah baik perkhidmatan polis agar lebih cekap.
“Buat permulaan, Polis Kontinjen Sabah memilih empat daerah—Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, dan Papar—sebagai kawasan perintis.
“Hasilnya akan menjadi penanda aras bagi keberkesanan platform tersebut sebelum ia diperluaskan ke semua daerah di Sabah,” katanya.
“Semua maklumat yang dihantar melalui platform ini akan kekal sulit dan tindakan sewajarnya akan diambil.”
Jauteh berkata, selain platform ini, polis akan terus menggunakan kaedah konvensional seperti peti aduan polis dan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).