Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan sentiasa memantau gerakan anti vaksin Covid-19, dari semasa ke semasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, walaupun setakat ini tiada gerakan anti vaksin yang dikesan di Sabah namun polis akan terus melakukan pemantauan.
Katanya, pemantauan membabitkan kenyataan-kenyataan di laman sosial, percakapan orang perseorangan dan sebagainya secara keseluruhan.
“Setakat ini, tiada gerakan anti vaksin Covid-19 dikesan namun polis sentiasa memantau dari semasa ke semasa.
“Sekiranya ada cubaan atau gerakan ini, kita akan ambil tindakan sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas menerima vaksin Covid-19 dalam kumpulan pertama imunisasi di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, semalam.
Hazani berkata, untuk fasa pertama ini, seramai 4,338 anggota dan pegawai polis akan menerima vaksin.
Katanya, sehingga April depan pula, pihaknya menjangkakan secara keseluruhannya seramai 11,000 anggota dan pegawai PDRM akan diberikan vaksin berkenaan.
“Orang ramai tidak seharusnya takut atau meragui vaksin ini kerana ia untuk kebaikan diri sendiri dan semua secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berkaitan kehadiran ramai komuniti Pala’u yang dikatakan datang dari daerah Semporna, Hazani berkata, pihaknya sudah memberikan penerangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung perkara berkenaan.
Katanya, tindakan sepatutnya akan diambil selepas penularan Covid-19 ini berjaya diselesaikan di seluruh negeri ini.
“Polis dijangka akan melancarkan operasi khas untuk menyelesaikan masalah kehadiran pendatang asing tanpa izin (pati) dan penempatan setinggan.
“Namun kita harus memastikan isu berkaitan Covid-19 ini berjaya diselesaikan terlebih dahulu,” katanya. – Asia Times
Artikel ini disiarkan pada Jumaat, 5 Mac 2021