Polis Nafi Lambat Bertindak Laksanakan PKPD Di Kampung Lingkudau

Kampung-Lingkudau.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis menafikan pihak berkuasa lambat bertindak dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Shahrudin Mat Husain berkata pos kawalan sudah dibina di kawasan berkenaan sejak Isnin walaupun pagar kawat berduri hanya mula dipasang pada Selasa.

”Mungkin ada sedikit kekeliruan, namun pelaksanaan PKPD tetap berjalan lancar dan saya juga menasihatkan penduduk di kawasan itu supaya merujuk kepada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang kemusykilan.

”Saya faham kesukaran yang dihadapi penduduk dalam kawasan PKPD tapi ini semua demi kebaikan bersama kerana kita tidak mahu kes Covid-19 di Keningau terus meningkat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sementara itu, pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Keningau, Hassan Mahali berkata, seramai 430 penduduk di kampung berkenaan akan menerima bantuan bakul makanan dalam tempoh terdekat.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak menyebar berita palsu berhubung pelaksanaan PKPD di kampung terbabit.

”Saya nasihatkan orang ramai atau penduduk di Kampung Lingkudau supaya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan sesuatu perkara.

”Selain itu, saya juga menyeru penduduk setempat memberi kerjasama kepada semua agensi kerajaan yang bertugas di situ termasuk pihak KKM (Kementerian Kesihatan) yang akan melakukan ujian saringan Covid-19 secara bersasar di situ,” katanya.

Terdahulu, PKPD di Kampung Lingkudau di Keningau, didakwa “berserabut” berikutan tiada arahan atau penguatkuasaan khusus dilakukan sejak Isnin, iaitu hari pertama perintah berkenaan berkuatkuasa.

Beberapa penduduk mendakwa, mereka kurang jelas dengan pelaksanaan PKPD di kawasan mereka kerana ada yang mengatakan hanya jalan tertentu saja yang akan dipasang pagar kawat berduri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan PKPD dilaksanakan di Kampung Lingkudau bermula 15 hingga 28 Mac berikutan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top