Polis marin gagalkan cubaan seludup masuk kosmetik di Semporna

rampas-kosmetik-1.jpg

Kotak-kotak besar berisi barangan kosmetik yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di laut Kampung Kuala Bibang, di sini, kelmarin.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Cubaan menyeludup masuk pelbagai barang kosmetik bernilai RM320,540 gagal selepas kegiatan itu dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) di laut Kampung Kuala Bibang, di sini, kelmarin.

Semua barangan berkenaan dirampas selepas anggota PPM Semporna berjaya mengesan pergerakan dua bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan pada jam 8.30 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kejayaan rampasan itu adalah hasil risikan dan maklumat awam yang diterima.

Katanya, kedua-dua bot terbabit bertindak nekad memecut melarikan diri apabila cuba dihampiri anggota PPM untuk pemeriksaan.

“Ketika mengejar hampir 20 minit, kelihatan suspek bertindak membuang beberapa barangan daripada bot lalu memecut laju dan menghilangkan diri.

Semua barang kosmetik yang dirampas dianggarkan lebih RM300 ribu itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Usaha mengejar yang dilakukan tidak berhasil kerana keadaan yang gelap,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad berkata, seterusnya tindakan mencari dan mengesan barangan yang dibuang menemukan sebanyak 10 kotak besar yang berisi barangan kosmetik.

“Pasukan operasi kemudian membuat pemeriksaan lanjut di kawasan paya bakau Kampung Kuala Bibang dan menemukan dua bot yang diikat di pokok bakau.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu menemukan muatan 70 kotak besar berisi barangan kosmetik,” katanya.

Menurutnya, nilai semua barangan kosmetik yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu berjumlah RM320,540.

“Semua rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan kes dirujuk ke Jabatan Farmasi Tawau dan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top