Polis Keluarkan 127 Saman Dalam Operasi Samseng Jalanan

polis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengeluarkan 127 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Tun Fuad Stephens, di sini bermula 1 November hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata semua saman itu dikeluarkan menerusi 12 Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, jalan di kawasan itu dipercayai sering dijadikan ‘port’ oleh individu mahupun berkumpulan melakukan aksi bahaya setiap hujung minggu sehingga mengganggu ketenteraman serta keselamatan pengguna jalan raya.

“Oleh itu, operasi ini bertujuan menangani isu samseng seperti menduga kelajuan, membuat bunyi bising daripada kenderaan yang diubah suai hingga mengganggu ketenteraman serta keselamatan pengguna jalan raya.

“Menjadi kebanggaan dalam kalangan mereka apabila berjaya melakukan aksi berkenaan untuk dimuat naik di media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan lain-lain platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Operasi Samseng di kawasan berkenaan, malam tadi.

Kalsom berkata, antara 127 saman yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, nombor kenderaan palsu, ubah suai kenderaan, dan cukai jalan tamat tempoh.

“Kita yakin kehadiran anggota polis di kawasan berkenaan mampu membantu atau mengatasi aktiviti samseng jalan di kawasan berkenaan.

“Operasi ini akan diteruskan dalam memastikan kawasan itu tidak lagi dijadikan ‘port’ dengan aksi bahaya dan bunyi bising sehingga penghuni di bangunan dan hotel sekitarnya terganggu,” katanya.- BERITA HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top