KINABATANGAN: Lelaki disahkan positif Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Kinabatangan awal pagi semalam kini sedang diburu oleh pihak polis.
Lelaki warga Filipina dikenali sebagai Suhin Mursidi,37, itu melarikan diri dari hospital berkenaan kira-kira jam 2 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, lelaki tersebut ditahan kerana memiliki dadah pada Jumaat minggu lepas dan sedang menjalani perintah kuarantin sebelum bertindak melarikan diri.
“Semasa ditahan di sebuah rumah di ladang kelapa sawit pada minggu lalu, pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah jenis syabu seberat 30.21 gram.
“Lelaki itu dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum dimasukan ke lokap. Namun, setelah didapati positif, suspek dirawat dan diperintahkan menjalani kuarantin di hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, suspek disyaki melarikan diri daripada pintu belakang wad lelaki hospital berkenaan.
Katanya, suspek melarikan diri dengan memakai baju kemaja-T berwarna hitam dan berseluar jeans.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, operasi mengesan suspek sudah dilancarkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Untuk itu, beliau menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi IPD Kinbatangan di talian 089-561890.