KUALA LUMPUR: Polis membuka pengambilan khas untuk bukan Bumiputera bagi jawatan Konstabel Gred YA1 dan untuk Orang Asli bagi jawatan Konstabel Orang Asli Gred YP1.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata bagi pengambilan khas bukan Bumiputera, ia memberikan kelonggaran kepada mana-mana individu yang tidak memperolehi kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi peperiksaan SPM untuk memohon.
“Permohonan bagi bukan Bumiputera itu dibuka selama dua minggu bermula dari 18 hingga 31 Mac ini dan boleh dipohon menerusi laman web https://epengambilanpdrm.rmp.gov.my
“Keutamaan dalam masa sama akan diberikan kepada pemohon bukan Bumiputera yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, Tamil atau lain-lain bahasa ibunda,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Mereka yang layak akan dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga di bandar-bandar utama seluruh negara sebelum menerima pemakluman berjaya atau tidak pada akhir Jun atau awal Julai.
Syarat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang memerlukan pemohon memperolehi dua kepujian termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu selain lulus dalam empat mata pelajaran lain, dilonggarkan untuk menarik lebih ramai pemohon.
“Untuk itu, JPA kali ini menetapkan satu kepujian sahaja selain lulus empat mata pelajaran lain. Berbeza pada kali ini pemohon yang tidak mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu masih boleh memohon,” katanya.
Ramli berkata dalam tempoh enam tahun perkhidmatan selepas pelantikan, anggota atau pegawai itu perlulah mengambil semula mata pelajaran Bahasa Melayu terbabit sehingga memperolehi kepujian dalam SPM.
“Jika dalam tempoh itu masih tidak berjaya, polis tidak mempunyai pilihan, selain menamatkan khidmat mereka,” katanya.
Sementara itu, polis serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam masa sama akan melaksanakan kempen menggalakkan penyertaan kaum Orang Asli bagi mengisi jawatan Konstabel Orang Asli Gred YP1.
“Jerayawara akan diadakan pada 14 Mei hingga 6 Jun di pejabat-pejabat kemajuan Orang Asli (PKOAD) seluruh Semenanjung dan borang permohonan boleh diperolehi di situ. Pada hari tersebut polis dan JAKOA akan mengenal pasti calon-calon daripada kalangan Orang Asli yang berkelayan untuk terus melaksanakan ujian pemeriksaan fizikal dan lain-lain ujian,” katanya.
Polis dalam masa sama sedang memohon kelonggaran syarat JPA bagi jawatan terbabit.
“Syarat ketinggian fizikal ditetapkan skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstable Gred YP1 memerlukan pemohon memiliki ketinggian minimum 163cm bagi lelaki dan 157cm bagi wanita.
“Namun kami dalam permohonan untuk diberikan kelonggaran supaya ia diubah kepada 160cm bagi lelaki dan 155cm bagi wanita,” katanya.