PN Tolak Penyertaan LDP

TSMY-Hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan parti tempatan Sabah iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menyertai pakatan berkenaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan itu ditolak selepas pihaknya mengadakan perbincangan  dan setelah mengadakan konsultasi bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan rakan-rakan di negeri tersebut.

“Kita ada menerima permohonan daripada LDP tapi permohonan itu tidak diterima. Kita sudah meneliti dan menilai macam mana penyertaan itu boleh menambah baik kedudukan kita atau sebaliknya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah pada Sabtu.

Presiden Bersatu ini berkata, pembahagian kerusi bagi dua parti tempatan lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan dibincangkan di peringkat nasional.

Katanya, keputusan pembahagian kerusi itu akan dibuat setelah mengambil kira semua kepentingan parti-parti lain di dalam PN.

Pada 28 Mac lalu, Majlis Tertinggi LDP meluluskan usul untuk menyertai PN selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada masa itu.

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, LDP yakin dengan kepimpinan Muhyiddin dalam usahanya memerangani pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

LDP yang ditubuhkan pada 1989 merupakan bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti ini keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun lalu, LDP bertanding 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top