KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang berpangkalan di sini berkata gabungan itu (PN) tidak perlu bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya Datuk Yong Teck Lee berkata ini selaras dengan pendirian parti itu yang menolak parti nasional bertanding pada PRN tersebut.
“Kami masih sebahagian daripada PN dan saya telah menyatakan bahawa PN tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah.
“Mereka (pemimpin PN) kecewa tetapi ini pendirian kami,” katanya selepas persidangan dwi-tahunan SAPP di sini.
Yong berkata SAPP, yang juga sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di bawah tiket gabungan kerajaan negeri itu pada pilihan raya Sabah akan datang.
Beliau diminta mengulas status hubungan SAPP dengan PN menjelang pilihan raya negeri.
Katanya, tidak ada undang-undang yang melarang mana-mana parti bertanding, oleh itu tiada sesiapa pun perlu gusar dengan pendirian pihaknya.
Bekas ketua menteri itu sebelum ini berkata kehadiran parti nasional dalam pilihan raya negeri adalah satu bentuk “campur tangan” dalam hal Sabah.
Beliau juga berkata SAPP tidak akan mengubah pendiriannya walaupun GRS memutuskan untuk bekerjasama dengan parti nasional pada pilihan raya negeri akan datang.