PN Tidak Akan ‘Tutup Kedai’ Di Sabah – Ronald

kiandee-1.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

TAWAU: Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yakin Perikatan Nasional (PN) tidak akan ‘tutup kedai’ di negeri ini.

Katanya, penstrukturan jawatan di peringkat bahagian akan dilakukan bagi memastikan PN terus bertapak dan releven di Sabah.

“Kita sedia maklum beberapa kekosongan jawatan ketua bahagian BERSATU berlaku kerana penghijrahan ke parti lain dan mereka juga sudah dikenal pasti.

“Kita akan melantik ketua penaja yang baharu bagi meneruskan gerak kerja dan jentera parti BERSATU di semua bahagian pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua PN Sabah berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Sabah PN Tawau dan Kalabakan, di sini semalam.

Menurutnya, PN Sabah masih ada komponen yang masih bersama di negeri ini termasuklah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Kita akan bergerak bersama parti komponen dan meneruskan usaha serta perjuangan PN di negeri ini pada Pilihan Raya akan datang.

“Hakikatnya, PN adalah satu gabungan yang besar dan kehadapan dalam lanskap politik negara ketika ini, malah di Semenanjung sebanyak 74 kerusi Parlimen sudah ditawan,” katanya.

Ronald percaya PN mampu menjadi pilihan rakyat Sabah kerana pengundi sudah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih nasional.

“Walaupun pelbagai naratif politik yang dibuat oleh pemimpin negeri ketika ini, saya yakin PN berjaya menawan Sabah kelak,” katanya.

Dalam majlis itu, Ronald menerima 100 borang keahlian BERSATU daripada Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) DUN Kukusan.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kalabakan merangkap Ketua Penerangan PAS Sabah Ahmad Dullah. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top