KOTA KINABALU: Gabungan Perikatan Nasional (PN) harus disokong dan diperkuat untuk kepentingan semua, kata Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Yong berkata PN adalah satu-satunya gabungan politik yang dapat berusaha ke arah kemajuan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
“PN terdiri daripada pelbagai pihak yang menjaga kebajikan bukan hanya satu kaum tetapi semua, termasuk penduduk asli di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa PN adalah “perjanjian baharu” untuk Malaysia kerana ia adalah kerajaan yang bekerja untuk negara dan mempersiapkannya untuk generasi yang akan datang.
Yong mengatakan para pemimpin dalam PN mempunyai komitmen untuk memastikan bahawa perpaduan dipupuk manakala kesejahteraan dijaga sesuai dengan hak perlembagaan mereka, oleh itu, tidak ada alasan untuk meragukan keberkesanan pemerintahan gabungan tersebut.
Ia adalah platform yang memastikan hubungan antara dan dalam kalangan masyarakat dapat berfungsi dengan baik ketika negara memerangi cabaran termasuk COVID-19, kelembapan ekonomi, dan lain-lain, tambahnya.
Yong juga mengatakan bahawa menjadi sebahagian daripada “perjanjian baharu” ini adalah kaedah paling berkesan bagi mengatasi cabaran nasional dan global serta membawa harapan baharu kepada rakyat Malaysia, sambil menambah bahawa pemerintahan yang kuat dan berkesan yang terdiri daripada gabungan politik seperti PN adalah kunci untuk Malaysia baharu.
“Untuk masa depan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia terutama generasi muda kita, marilah kita berdiri bersama sebagai salah satu komponen PN dan bangkit di atas cabaran yang kita hadapi sekarang,” tambahnya.