SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) belum memutuskan calon ‘poster boy’ dan calon ketua menteri Sabah, kata pengerusi gabungan itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau perkara itu akan dibincangkan pada minggu depan dalam perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Bbelum pasti lagi,” katanya apabila ditanya sama ada Bersatu bercadang untuk menamakan Naib Presidennya, Datuk Seri Ronald Kiandee, sebagai calon “poster boy” PN di Sabah.
“Isu lain yang akan dibincangkan ialah sama ada kami akan bertanding secara solo atau membentuk gabungan dengan parti-parti lain di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini pada Sabtu.
Muhyiddin berkata, PN juga akan membincangkan tuntutan hasil 40 peratus Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menambah bahawa Bersatu dan gabungan itu secara prinsip telah bersetuju untuk memasukkan MA63 dalam manifesto pilihan raya Sabah mereka.
Sebelum ini, komponen PN iaitu Parti Progresif Sabah (SAPP) menggesa gabungan itu untuk tidak menyertai pilihan raya Sabah selaras dengan pendiriannya yang menentang parti-parti nasional bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata parti itu, yang juga sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah, akan bertanding menggunakan tiket gabungan negeri yang memerintah dalam pilihan raya tersebut.