KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen (MP) pembangkang dalam tempoh terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk mengadakan rundingan itu.
“Kita melantik tiga Ahli Parlimen dari PN untuk berunding iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun Perdana Menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.
“Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di sini, semalam.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah sama dengan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.
“Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Anwar mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian jika enggan berbuat demikian. – Agenda Daily