KOTA KINABALU: Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di bawah Jabatan Penerangan akan menjadi pusat sehenti rakyat setempat mengakses perkhidmatan atas talian yang ditawarkan oleh jabatan persekutuan.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, ini merupakan antara usaha awal untuk memastikan perkhidmatan atas talian dapat dilaksanakan secara optimum dan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak memiliki peranti atau komputer di rumah.
“Perkhidmatan tersebut boleh didapati di 25 PMR seluruh Sabah dan ia akan memberikan manfaat terutama dari aspek mobilisasi pelanggan, penjimatan kos perjalanan dan penjimatan masa.
“Tiga jabatan persekutuan yang menawarkan perkhidmatan atas talian di PMR ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Antara perkhidmatan atas talian yang boleh diakses adalah E-Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS), MyOnline Passport, mySIKAP, semakan permohonan kad pengenalan dan semakan permohonan kewarganegaraan.
“Sistem perkhidmatan atas talian ini juga akan terus ditambah di masa hadapan bagi memastikan ia dapat terus dilaksanakan secara optimum,” beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Familiarisasi Perkhidmatan Atas Talian Di Bawah Kluster Pendigitalan Dan Inovasi di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, bengkel tersebut dianjurkan bagi memastikan pegawai-pegawai PMR memperoleh pengetahuan untuk membolehkan mereka menjadi sumber rujukan apabila balik ke daerah atau pusat PMR masing-masing.
“Ia juga bagi memberikan pendedahan kepada pegawai berkenaan perkhidmatan atas talian bagi memastikan usaha mempromosi serta memperluaskan penggunaanya dapat dicapai.
“Diharap usaha bersepadu ini akan menjadikan PMR sebagai agen mempromosi perkhidmatan atas talian dan ia akan terus diperkasa bagi memberikan kemudahan kepada rakyat Sabah khususnya,” katanya.
Seramai 42 pegawai PMR Jabatan Penerangan Sabah seluruh Sabah hadir pada bengkel sehari tersebut yang bertujuan bagi memberi pengenalan dan kefahaman yang menyeluruh berkenaan panduan atau tatacara penggunaan perkhidmatan atas talian yang ditawarkan agar dapat membantu masyarakat setempat.
Hadir sama, Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd. Noor, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof dan Pengarah Pendaftaran Negara Negeri Sabah, Ervinah Kebahi @ Syarafina Ibrahim.-JAPEN Sabah