PM Umum Tambahan Cuti, Tol Rahmah Sempena Aidilfitri

dsai.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023.

“Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.

“Ia adalah berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan,” katanya.

Tambah beliau, bagi Sabah dan Sarawak pula, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Pada sidang media itu Perdana Menteri juga berkata kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah percuma, pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Tol percuma itu akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat).

Selain itu, tol percuma juga akan dilaksanakan pada 24 April 2023 (Isnin).

“Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top