Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program bantuan Pemerkasa Tambahan atau Pemerkasa Plus sebagai inisiatif terbaharu kerajaan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (Total Lockdown) yang bermula pada 1 Jun.
Perdana menteri berkata nilai keseluruhan program Pemerkasa Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion.
Katanya, langkah baharu Pemerkasa Plus akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam; meneruskan agenda prihatin rakyat; dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen pada malam Isnin.
Pemerkasa Plus adalah satu lagi pakej rangsangan ekonomi selepas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan Mac lalu bagi membantu rakyat mendepani cabaran pandemik Covid-19.
Terdahulu, Pemerkasa membabitkan peruntukan bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.
Sebelum ini kerajaan memperkenalkan lima pakej bantuan bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion pada Mac 2020 dan diikuti Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan berjumlah RM10 bilion.
Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.
Muhyiddin berkata pertambahan peruntukan ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan.
Katanya, sebanyak RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19.
“Bukan sahaja di hospital seliaan KKM tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini,” katanya.
Kerajaan juga memperuntukkan RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan Covid-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan.
Selain itu Muhyididn berkata melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.
“Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,” tambahnya.