PM Ucap Terima Kasih Atas Kepercayaan Agong

muhyiddin.jpg
Kongsi Bersama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil maklum pendapat Yang di Pertuan Agong tiada keperluan darurat diisytiharkan, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan kepada kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu gugat,” kata perdana menteri dalam satu kenyataan malam tadi.

“Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut akan titah Seri Paduka Baginda Tuanku. Keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.”

Petang semalam, Yang di pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk mengadakan darurat seperti yang dipohon Muhyiddin mengikut Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan bagi memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata keputusan itu diambil setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top