PM: Tiada Sekatan Bazar Ramadan Tahun Ini

bazar-ramadan.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR : Tiada sekatan akan dibuat terhadap kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

“Kita tidak akan tutup perniagaan, saya dah sebut raya ke, bulan puasa ke, pasar Ramadan ke, pasar malam ke, masih akan dibuka seperti biasa,” katanya selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia, semalam

Sebelum ini, peniaga Bazar Ramadan meluahkan rasa bimbang tidak boleh berniaga akibat peningkatan kes Covid-19 yang meningkat secara mendadak, membabitkan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.

Kelmarin, kes baharu Covid-19 mencatatkan 22,802 kes menjadikan kumulatif kes mencecah lebih tiga juta.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan pada tahun ini akan dilaksanakan seperti biasa mengikut SOP sedia ada.

Jelasnya, kerajaan tidak akan menyekat operasi Bazar seluruh negara seperti 2020 dimana yang bertujuan mengekang penularan Covid-19.

Manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan yang beliau bercadang mengadakan lawatan kerja ke China pada Mei dan ke Asia Barat pada penghujung Mac ini.

“Saya selesaikan ASEAN dulu sebelum saya pergi ke negara Asia Barat, tengah tunggu tarikh mungkin Mac atau selepas Parlimen habis bersidang, selepas itu saya ke China,” katanya.

Sejak 1974, Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China yang merupakan  negara pertama di ASEAN melakukannya.

Hasil daripada itu, kedua-dua negara tersebut menjalin hubungan erat dan membangun perkongsian untuk kepentingan bersama dalam pelbagai aspek.

Untuk rekod, Indonesia menjadi negara pertama dikunjungi beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top