PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tidak menghendaki Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memakai gelang pengawasan dan tidak memberinya gelang itu, kata Pejabat Perdana Menteri hari ini, menafikan dakwaan Muhyiddin melanggar arahan kementerian.
Katanya, kementerian menasihatkan Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah “setiap hari selama 14 hari” menggunakan alat penilaian di rumah dalam aplikasi MySejahtera.
Semalam, timbul dakwaan pengguna media sosial mengatakan beliau, yang menyampaikan perutusan khas semalam, melanggar arahan kementerian, kerana dilihat tidak memakai gelang pengawasan.
Muhyiddin menjalani kuarantin di rumah selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang didapati positif.
“Justeru, dakwaan bahawa perdana menteri melanggar perintah arahan KKM adalah tidak benar,” kata PMO kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujian pengesanan Covid-19 terbaharu Muhyiddin yang diambil pada 5 Oktober adalah negatif.
“Perdana menteri bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.”