PM selar pihak yang pertikai pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah

DSAI-1.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang mengaitkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 dengan pendirian kerajaan terhadap rasuah.

HMetro dalam laporannya memetik Anwar sebagai berkata, Musa dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak pada 2020 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri.

“Keputusan melepaskan Tun Musa itu keputusan 2020 semasa Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

“Apa isu dia? Kemudian melalak seolah jadi masalah apa?

“Ada kes dibawa (ke mahkamah), tak ada kes ditutup,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian selepas melancarkan buku biografi Lim Kit Siang: Malaysian First di Ipoh, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui bahawa beliau dirujuk berhubung pelantikan Musa ke jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Bagaimanapun, katanya, beliau tahu batasan bahawa berdasarkan perlembagaan, kuasa melantik itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah Perdana Menteri tak tahu? Perdana Menteri tahu. Memang dirujuk. Tetapi, Perdana Menteri yang tahu ini pun tahu perlembagaan dan batasannya.

“Sekarang setelah Agong perkenan (pelantikan Musa), apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Yang Dipertua negeri yang baik untuk Sabah,” katanya.

Pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mencetuskan perdebatan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan rasuah lampau dan pembebasannya pada 2020.

Musa, 73, menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas berkhidmat selama 14 tahun sejak 1 Januari 2011.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top