PM Sedang Bincang Rombakan Kabinet, Lapor Reuters

muhyiddintassin-18102020.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbincang mengenai kemungkinan merombak Kabinet dalam usaha menenangkan Umno yang mempertimbangkan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), kata tiga sumber kepada agensi berita Reuters hari ini.

Sumber itu tidak mahu dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.

“Umno sedang berunding dan ini menunjukkan mereka tidak bersedia keluar daripada gabungan PN,” kata satu sumber.

Terdahulu, FMT melaporkan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah bertemu Muhyiddin mengenai “syarat baharu” Umno kerana menyokong kerajaan pimpinan PN.

Annuar tidak memberikan perincian mengenai pertemuan itu tetapi mengatakan perbincangan mengenai syarat baharu Umno sedang berjalan.

Reuters memetik dua sumber lagi yang berkata, Umno dan PN juga sedang membincangkan kerusi yang akan mereka tandingi pada pilihan raya akan datang.

Tempoh pilihan raya sehingga 2023, tetapi beberapa pimpinan dalam kerajaan mahu ia diadakan awal untuk mendapatkan mandat lebih kuat.

Pejabat Muhyiddin dan Umno masih belum memberi respons terhadap laporan itu, kata Reuters.

Pemimpin Umno baru-baru ini melakukan ‘protes’ terhadap pengurangan peranan parti itu dalam Kabinet Muhyiddin walaupun ia merupakan parti terbesar dalam gabungan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman minggu lalu berkata, seorang ahli Parlimen Umno harus dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta gencatan politik dibuat ketika negara berdepan peningkatan kes Covid-19.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top