PM Puji Frontliners, Kritik Ahli Politik

TSMY-2.jpg
Kongsi Bersama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19 sebagai contoh perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum berbanding ahli politik yang memanipulasi sentimen kaum untuk kepentingan peribadi.

“Dalam krisis Covid-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita.

“Sifat ini membantu usaha kita mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan,” katanya ketika melancarkan dasar perpaduan negara dan rangka tindakan (blueprint) perpaduan negara 2030 hari ini.

Rangka tindakan ini disediakan kementerian perpaduan negara hasil daripada perancangan selama beberapa tahun dan maklumat daripada konsultasi awam dalam tiga pentadbiran: Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Muhyiddin berkata sifat empati ini perlu disuburkan untuk memahami isi-isu kaum daripada perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Katanya, masalahnya apabila isu kaum dilihat daripada sudut kaum atau kumpulan tertentu.

“Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media,” katanya.

Muhyiddin memberikan amaran kepada “ahli politik” yang memanipulasi sentimen kaum dan menambah mereka adalah “cabaran utama” dalam hampir semua negara berbilang kaum.

“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan.

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara,” katanya dan menambah “kementerian (perpaduan negara) ini menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan”.

Rangka tindakan yang dilancarkan hari ini adalah strategi jangka panjang kerajaan berhubung perpaduan nasional dengan sasaran mencapai keharmonian kaum dan membentuk identiti nasional melibatkan semua latar belakang etnik.

Ini merupakan dokumen polisi kerajaan yang terbaru dilancarkan meliputi pendidikan, budaya dan keselamatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top