PM: PRU Diadakan Hanya Setelah Semua Pihak Bersedia

PM.jpg
Kongsi Bersama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan untuk membubarkan Parlimen tidak perlu dipengaruhi kumpulan kecil yang mendesak pilihan raya umum (PRU) segera diadakan.

Sambil mengulangi pendiriannya sebelum ini, Ismail yang juga Naib Presiden Umno berkata, PRU hanya boleh diadakan sebaik sahaja semua pihak sudah bersedia.

“Tak tahu lagi (tarikh PRU) sebab seperti yang kita tahu dan saya dah sebut beberapa kali dalam ucapan, apabila kita sudah bersedia dan pilihan raya boleh diadakan, tapi perlu bersedialah.

“Soal bersedia atau tidak bersedia, kita akan bincang dan banyak perkara lain perlu kita tengok, tidak bolehlah disebabkan dalam satu kumpulan kecil terjerit-jerit nak pilihan raya, kita buat pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Bera, Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim.

Malam semalam, Ismail disambut dengan laungan ‘bubar Parlimen’ oleh penyokong dan ahli Umno ketika tiba di ibu pejabat Umno Johor, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan dua pertiga.

Ismail Sabri yang diiringi pengawal keselamatan bagaimanapun dilihat sekadar tunduk membisu, tanpa memberikan sebarang perhatian terhadap kumpulan terbabit.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, dia berkata keputusan membubarkan parlimen adalah perkara besar dan perlu dibincangkan dengan serius dalam parti.

“Ini perkara yang besar, jadi parti akan bincang dan buat keputusan dan selepas itu beberapa perkara lain juga akan dilihat seperti prosedur, saya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, kena mendapatkan nasihat dan perkenan.. jadi kita tunggulah, masa yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan dikemukakan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pada 10 Feb lalu supaya melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan pembangkang dan kerajaan yang berakhir 31 Jul ini, Ismail berkata perkara itu juga akan diteliti.

“Cadangan DAP untuk MoU itu juga kita akan ambil kira, yang pentingnya, kepentingan rakyat kita kena jaga, sebab itu saya katakan tadi, belum sampai masa untuk pilihan raya umum, kita tungggulah,” katanya.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Ismail Sabri pada 13 Sept tahun lalu bagi mengembalikan kestabilan politik susulan pertukaran kerajaan pada Ogos tahun itu.

Antara intipati dipersetujui adalah kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai tahun ini, selain melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasakan sistem demokrasi negara.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top