PM Perlu Campur Tangan Tetapkan Harga Tiket Penerbangan – Shafie

shafie.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Langkah memastikan harga tiket penerbangan tidak melambung tinggi bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pengangkutan sebaliknya, campur tangan Perdana Menteri.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, campur tangan Perdana Menteri penting bagi membolehkan syarikat penerbangan tidak mengambil kesempatan menaikkan tiket penerbangan pada kadar yang tidak munasabah.

Beliau berkata, kerajaan perlu bertegas dalam memastikan bebanan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.

Katanya, kerajaan perlu menangani isu kenaikan harga tiket penerbangan semasa musim perayaan ini dengan baik supaya rakyat tidak terbeban.

“Saya harap kadar tambang sama ada daripada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mahupun AirAsia perlu ditetapkan.

“Rakyat sudah cukup terbeban akibat pendapatan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka, jangan terus membebankan rakyat.

“Ketika ini, kadar tiket mencecah lebih RM1,000 hingga RM2,000, ia cukup tinggi,” katanya selepas Program Tautan Kasih sempena Ramadan, pada Khamis.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sekiranya harga tiket penerbangan dapat dikurangkan, beliau percaya lebih banyak penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan udara ini untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan.

Keadaan itu sekali gus akan membolehkan syarikat penerbangan menjaga keuntungan tanpa perlu membebankan penumpang yang cukup terjejas akibat pandemik Covdi-19.

Dalam program tersebut, Mohd Shafie bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong menyampaikan bantuan sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri kepada golongan yang memerlukan. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top