PM Lancar 4 Pakej Pan Borneo Kinabatangan – Telupid Sabtu Ini

Pan-Borneo-PM.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej pantai timur Sabah di Kinabatangan, Sabtu ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke Sandakan dan Kinabatangan dijadual tiba di Lapangan Terbang Sandakan petang esok sebelum bertolak ke Kinabatangan pada pagi Sabtu dan pulang ke Kuala Lumpur pada petang hari yang sama.

Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos lalu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal dilancarkan Perdana Menteri di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, Sabtu ini membabitkan empat pakej kerja bagi laluan di antara Kinabatangan dan Telupid.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kontraktor bagi empat pakej kerja iaitu WP15, WP28, WP29 dan WP30 baru saja dilantik.

Katanya, keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak sejurus pelancarannya oleh Perdana Menteri dan dijangka siap pada 2024.

“Empat pakej ini adalah antara pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Satu lagi pakej baharu ialah laluan di antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Dengan pelaksanaan lima pakej baharu ini, menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam Fasa Satu Projek Pan Borneo Sabah,” katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata 11 pakej yang sedang dilaksanakan ketika ini kebanyakannya membabitkan laluan di pantai barat Sabah yang bermula dari Sindumin di sempadan Sarawak hingga ke Kudat di utara.

Katanya, kerja pembinaan bagi 11 pakej berkenaan berjalan lancar dengan pencapaian setakat ini pada tahap 54 peratus dan dijadual siap pada 2023.

“Untuk baki 19 pakej lagi, kita berharap ia dapat dilaksanakan secara serentak supaya tempoh penyiapannya dapat dipercepatkan,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata pelaksanaan empat pakej Lebuhraya Pan Borneo laluan Kinabatangan – Telupid bakal menyelesaikan kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna selama ini.

“Projek ini akan menyelesaikan isu kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama sedia ada terutamanya dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan,” katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Satu membabitkan jajaran Sindumin – Kota Kinabalu – Kudat di pantai barat dan Tawau – Batu 32 Sandakan di pantai timur serta Batu 32 Sandakan – Ranau di bahagian tengah Sabah dengan panjang keseluruhan 706 kilometer.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top