PM Ke-9: Ismail Sabri Angkat Sumpah

pm-angkat-sumpah.jpg
Kongsi Bersama

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 2.30 petang.

Seri Paduka memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka, Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen berkenaan.

Ia disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Turut hadir dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim turut hadir.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah. – UTUSAN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top