KUALA LUMPUR: Tindakan saat akhir 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik perakuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hilang majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).
Mereka berbuat demikian selepas diarah kepemimpinan parti, susulan pertemuan di antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula pada 20 November lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi susulan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.
Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai PM10 dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada 21 November.
Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon PM10 yang dinamakan mereka.
Susulan surat speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti GPS (23); GRS (6) dan KDM (1) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.
Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.
Bagaimana pun susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi 21 November, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.
Baca seterusnya di BHarian