PM Jamin Layanan Adil Untuk Bangunkan Sabah Dalam RMK-12

TSMY1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menekankan layanan adil untuk Sabah dalam membentuk dan merancang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan menyalurkan peruntukan sumber kewangan secara saksama dalam membangunkan negeri ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata beliau sedar dalam konteks Sabah, jurang pembangunan masih ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung, justeru Kerajaan Persekutuan komited untuk mengurangkan jurang pembangunan tersebut.

“Selaras dengan salah satu objektif utama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu pembangunan untuk semua, Kerajaan (Persekutuan) komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasuklah di negeri Sabah.

“Pelan Pusingan RMK-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 bilion diluluskan untuk Sabah bagi pelaksanaan projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya ketika berucap pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Muhyiddin berkata antara projek pembangunan utama di Sabah yang sedang dilaksanakan ialah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sebuah projek yang akan mengubah keadaan (game changer) bagi pembangunan di Sabah dan kehidupan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.

Selain itu katanya, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, projek menaik taraf 50 Sekolah Daif secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Sabah juga dijangka memberi manfaat dalam usaha meningkatkan aktiviti ekonomi di Sabah.

“Usaha kerajaan turut tertumpu dalam menangani kemiskinan dan memperkukuh pembangunan inklusif di Sabah…COVID-19 beri kesan sebahagian besar rakyat kita B40 jadi B50, M40 jadi kumpulan miskin. Ini isu serius, bagaimanapun kita mahu bawa pembangunan inklusif untuk Sabah.

“Sebagai contoh, Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah yang merangkumi 3 kluster, iaitu Native Customary Rights, Mahkamah Adat dan Pembangunan Modal Insan sedang dilaksanakan di bawah Pelan Pusingan 2021 RMK-12,” katanya.

Perdana Menteri berkata langkah-langkah yang diambil ini dijangka dapat memastikan pembangunan sosioekonomi yang seimbang demi kesejahteraan penduduk di Sabah.- BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top