PM Jadi Menteri Kewangan Kerana Keadaan Sekarang Luar Biasa, Kata Rafizi

rafizi.jpg

Rafizi, (Gambar fail)

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Rafizi Ramli berkata, keadaan luar biasa mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil portfolio kewangan.

Beliau berkata, Anwar mengambil peranan itu bagi mengelak konflik antara gabungan dan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

“Tiada parti dapat majoriti untuk bentuk kerajaan, tetapi pada masa yang sama, kita perlu kepimpinan yang kuat untuk ekonomi,” kata Rafizi pada sidang media hari ini.

“Kita juga tahu bahawa setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan mahu jawatan menteri kewangan, jadi buat masa ini, masuk akal bagi perdana menteri pegang jawatan itu untuk elak konflik.”

Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau berharap perkara ini tidak menjadi norma, kerana secara idealnya, perdana menteri tidak patut turut memegang portfolio kewangan dalam Jemaah Menteri.

Kali terakhir perdana menteri turut memegang jawatan menteri kewangan adalah pada zaman Datuk Seri Najib Razak. Perkara itu turut dilakukan dua perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad

Dalam manifestonya untuk PRU14, Pakatan Harapan (PH) berjanji bahawa perdana menteri tidak akan menjadi menteri kewangan pada masa yang sama.

Terdahulu, Anwar memberitahu Bloomberg bahawa beliau tidak mempertimbangkan untuk memegang portfolio kewangan ketika membuat keputusan memilih Jemaah Menterinya.

Anwar pernah menjadi menteri kewangan pada 1990-an, ketika beliau turut menjadi timbalan perdana menteri kepada Mahathir. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top