PM Gesa Hapuskan Orang Tengah Dalam Sektor Pertanian

PM.jpg

Ismail Sabri menerima cenderahati daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob ketika Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-48 di WTC Kuala Lumpur malam tadi. - Gambar/ Bernama

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa agar budaya ‘orang tengah’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat antara lain akibat kenaikan kadar inflasi.

Beliau berkata orang tengah merupakan pihak yang memerah keringat petani dan nelayan selain memanipulasi harga di pasaran.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Jihad ini perlu diteruskan oleh NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS Ke-48 di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Perdana Menteri berkata inflasi makanan merupakan fenomena global akibat gangguan rantaian bekalan berpunca daripada pandemik COVID-19 yang mengekang kegiatan pertanian sekali gus mengurangkan eksport dan keadaan bertambah buruk apabila berlaku peperangan Rusia-Ukraine.

“Peperangan itu memberi ancaman kepada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk. Kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan jika peperangan itu berpanjangan, kesan lebih buruk terhadap input pertanian boleh berlaku seperti kenaikan harga baja, racun dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata Malaysia ketika ini mencatat kadar inflasi 2.2 peratus iaitu lebih rendah berbanding negara lain termasuk Amerika Syarikat (8.5 peratus), United Kingdom (7), Singapura (5.4), Australia (4.5) dan Indonesia (2.6).

Katanya masalah dihadapi Keluarga Peladang terutama dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top