MELAKA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan memastikan hak bagi Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara.
Ismail yang juga Pengerusi Majlis Khas Mengenai MA63 berkata majlis khas itu bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri itu.
“Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak. Umpama peribahasa, bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini, bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi.
Ismail berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada 14 Dis 2021, bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan, untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.
Dalam ucapannya, Ismail turut mengimbau kembali sejarah penubuhan Malaysia dengan hasrat penubuhannya disuarakan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, buat pertama kali ketika Persidangan Wartawan-Wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.
Menyifatkan proses untuk membentuk Malaysia bukan satu yang mudah, beliau berkata segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kerana menagih pengertian dan memerlukan kesabaran para pejuang.
“Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura. Rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa.
“Pun begitu, biar seribu halangan yang merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang-pejuang terdahulu,” katanya. – BERNAMA